KUALA LUMPUR 11 Sept - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disifatkan mempunyai fikiran "sekotak" dengan segelintir rakyat Indonesia yang biadab dan melakukan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta apabila mengutarakan cadangan meminta kerajaan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di sana.
Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Peribumi Kebangsaan (PERKASA), Muhammad Zahid Md. Arif berkata, cadangan itu merupakan tindakan terdesak oleh Ahli Parlimen Rembau itu untuk mendapatkan publisiti murahan.
"Saya setuju dengan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bahawa Khairy seorang yang tidak cerdik apabila memberikan cadangan sedemikian.
"Ia datang tidak kena pada masanya apatah lagi ketika pemimpin kedua-dua negara sedang mengambil langkah diplomasi bagi menyelesaikan masalah yang timbul," katanya dalam satu kenyataan kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kritikan Anifah yang menyifatkan Khairy sebagai pemimpin yang "pandai tetapi tidak bijak" apabila mengemukakan cadangan itu.
Khairy sebelum ini meminta kerajaan memanggil pulang Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan sekiranya mesej bantahan serta protes Wisma Putra masih gagal menghentikan serangan penunjuk perasaan terhadap pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sana.
Pada masa sama, beliau turut menyeru Wisma Putra lebih tegas dalam menyampaikan mesej bantahan kepada kerajaan Indonesia berhubung isu demonstrasi oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).
Sehubungan dengan itu, Zahid meminta agar kerajaan tidak melayan permintaan Khairy itu kerana sekiranya langkah itu dilaksanakan, bermakna Malaysia bersedia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Indonesia.
"Saya difahamkan hubungan di antara pemimpin kedua-dua negara dalam keadaan baik dan yang bertindak biadab itu hanya mewakili golongan yang kecil. Jadi di manakah rasionalnya cadangan itu? Lainlah kalau mereka betul-betul hendak berperang dengan kita," katanya.
Zahid secara sinis kata, sekiranya Khairy sebagai Ketua Pemuda mampu membekalkan tenaga kerja untuk bekerja dalam sektor berkenaan, beliau akan bersetuju dengan cadangan itu.
"Sebagai Ahli Parlimen yang juga merupakan graduan dari Universiti Oxford, Khairy harus faham sekiranya Duta kita di Jakarta dipanggil pulang, bermaksud Malaysia bersedia untuk memutuskan hubungan diplomatik yang lama terjalin dengan republik itu,"katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment