KUALA LUMPUR, 8 Sept — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata beliau gembira kerana Datuk Seri Najib Razak “akhirnya mempertahankan” Perlembagaan dan kontrak sosial, sebaliknya beliau terus menyerang Khairy Jamaluddin dengan menyifatkannya sebagai tidak berpegang pada realiti.
“Saya gembira akhirnya Perdana Menteri bersuara dan mengingatkan semua pihak jangan persoal Perlembagaan dan kontrak sosial,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang disalurkan menerusi SMS lewat semalam.
Ibrahim memberitahu, beliau amat gembira kerana selama ini Perkasa mempertahankan Perlembagaan dan kontrak sosial, tapi ada pihak yang melabelkan pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai rasis.
“Sekarang terbukti Perkasa di pihak yang benar dan malangnya yang mempersoal dan menghina Perlembagaan dan kontrak sosial tidak pula dikatakan rasis,” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini.
Ibrahim juga berkata Perkasa akan komited “membujur lalu melentang patah” selain mempertahankan Perlembagaan sehingga titisan darah terakhir.
Oleh itu Ibrahim menambah, Perdana Menteri hendaklah tegas dan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap mereka yang menyentuh isu sensitif ini.
“Nyatalah bahawa konsep 1 Malaysia bukan mengatasi Perlembagaan tapi ia telah diputar belit. Siapa yang pertahan I53, maka dikatakan bertentangan dengan 1 Malaysia... ini yang tidak benar dan dikelirukan,” kata beliau lagi.
Dalam komennya kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu bahawa semua perkara yang sudah disepakati oleh pengasas-pengasas negara terutama sekali Perlembagaan yang berdasarkan kontrak sosial antara kaum tidak seharusnya dipersoalkan.
“Kita hendaklah beringat dan berpegang teguh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan oleh bapa-bapa kita, generasi yang lalu, sejak sekian lama sehingga kita berada dalam suasana seperti hari ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata bahawa dalam menjaga hubungan antara kaum pula, setiap rakyat hendaklah peka kepada sensitiviti serta mengelak daripada perbuatan, tindakan atau tutur kata yang boleh melukakan saudara daripada kaum-kaum lain.
Mengenai kenyataan terbaru Khairy, yang melihat Perkasa menjadi asas menurunnya undi kepada BN, Ibrahim sekali lagi membidas dengan menyifatkan Ketua Pemuda BN itu “cakap macam orang tak ada akal dan orang gila.”
“Perkasa baru tubuh selepas pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya umum ke-12, BN kalah teruk sebab orang membenci beliau (Khairy),” kata beliau merujuk kepada berita bertajuk “KJ: Perkasa punca BN hilang undi”.
Ibrahim mengetengahkan hujahnya bahawa Perkasa ditubuhkan sebab tidak mahu Melayu berpecah.
Sambil menyifatkan Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno sebagai pemimpin “bernafsu besar tapi dah hilang taring”, Ibahim menambah, “orang membenci Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebab Khairy mengawal Pak Lah... kalau Perkasa tubuh sebelum pilihan raya ke-12 ada logik.”
“Umno lagi rosak ada orang akal putus macam Khairy,” katanya.
Dalam temu bual dengan sebuah portal berita yang disiarkan semalam, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau masih yakin ahli-ahli Perkasa tidak akan sokong pembangkang kerana mereka akan memberikan undi pada Umno.
“Jadi kesan politik Perkasa kepada Umno adalah minimal kerana ia tidak menambahkan undi Melayu,” katanya.
Selain itu kata beliau, sekiranya anggota parti itu diminta memilih antara Umno dan Perkasa sebagai sebuah parti politik, keadaan mungkin berbeza.
“Di akhirnya, kesan undi bukan Melayu terhadap Umno dan BN, disebabkan Perkasa, adalah signifikan. Dalam perkiraan politik, di akhirnya, (Perkasa) menghilangkan lebih banyak undi daripada yang ditambahnya,” jelas Khairy.
Malaysian Insiders
No comments:
Post a Comment