Tuesday, September 21, 2010

Mari Baca, Bukti Besar KJ dan Kalimullah Pencacai Anwar !


Berita Minggu 4hb September 2004

"Buang yang keruh..."

Oeh Kalimullah Hassan

BAGAIMANA agaknya rupa catatan buku sejarah tahun-tahun mendatang dalam merekodkan segala yang berlaku dalam tempoh enam tahun terakhir ini?

Apakah rakyat akan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku? Apakah mereka hanya akan mengingati keperitan krisis kewangan, kegawatan politik, keganasan tunjuk perasaan, kejatuhan seorang Timbalan Perdana Menteri dan lupa bagaimana semuanya bermula?

Bagaimanakah sejarah akan mengadili dua individu utama yang terbabit secara langsung - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Siapa yang dapat memberi jawapannya?

Kini Anwar sudah bebas. Beliau bertarung hampir enam tahun bagi mendapatkan nikmat kebebasan itu dan jalan ceritanya diikuti dari mula hingga ke akhir oleh rakyat negara ini walaupun dari kaca mata berbeza.

Gegaran berikutan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 paling kuat dirasakan di Kuala Lumpur apabila penyokongnya meluahkan rasa tidak puas hati menerusi demonstrasi jalanan yang kebiasaannya disulami keganasan.

Rakyat bukannya terkejut kerana Anwar dipecat. Itu cuma proses perjalanan politik. Sebaliknya, perkara yang mengusutkan pemikiran masyarakat ialah apa yang menyusul selepas beliau digugurkan.

Ketika dalam tahanan, Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Apabila Anwar tampil di mahkamah bagi menghadapi tuduhan rasuah dan liwat dengan mata lebamnya, seluruh negara terpempan dan tergamam, termasuk golongan yang kurang senang dengan cara politik Anwar selama ini.

Maka bermulalah jenaka, atau lebih tepat lagi - tragedi - kesilapan demi kesilapan. Afidavit mengandungi butiran terperinci perlakuan seksual yang didakwa membabitkan beliau, sampai ke pengetahuan umum dan media sebelum ia difailkan di mahkamah. Tilam yang didakwa mempunyai kesan hasil hubungan seks turut dibawa ke mahkamah. Sahabat dan rakan perniagaan Anwar turut disoal siasat oleh polis.

Segala-galanya semakin menjadi-jadi hingga sukar diterima oleh mereka yang tidak berpihak kepada sesiapa pun, manakala kemarahan turut memuncak di dada kebanyakan rakyat.

Bertitik tolak daripada insiden mata lebam, pihak berkuasa kian menampakkan ketidakcekapannya hinggakan rakyat mula berfikir apakah benar wujud konspirasi seperti mana didakwa Anwar dan penyokongnya.

Apabila peguamnya, Karpal Singh dan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Ismail, menuduh kerajaan cuba meracun Anwar dengan arsenik, ramai yang tertanya-tanya mungkinkah ia ada kebenarannya.

Pelbagai pihak di seluruh dunia meluahkan keprihatinan dan kecaman terhadap pihak berkuasa Malaysia ketika itu walaupun di akhirnya, dakwaan keracunan arsenik itu terbukti tidak benar apabila Anwar selamat pulang ke kediamannya, Khamis lalu.

Dr Wan Azizah yang menerima simpati ramai rakyat Malaysia, bersedia mempercayai apa juga kemungkinan selepas melihat layanan yang diterima suaminya, termasuk kesan lebam di mata.

Pelbagai tanggapan negatif yang timbul menyebabkan Barisan Nasional (BN) menerima padah pada pilihan raya umum 1999. Walaupun masih memperoleh 75 peratus daripada kerusi dipertandingkan, undi popular parti pemerintah itu jatuh secara mendadak di samping kehilangan kuasa memerintah di dua negeri - Kelantan dan Terengganu - kepada pakatan pembangkang yang dibarisi Pas, DAP serta Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pimpinan Dr Wan Azizah.

Bagi kebanyakan rakyat yang tidak berpihak kepada sesiapa, keputusan itu adalah pembalasan mereka kepada BN dan Umno pimpinan Dr Mahathir. Ketika itu, segala sasaran dan kecaman dilontar kepada Dr Mahathir kerana beliaulah yang memecat Anwar kerana didakwa seorang homoseks. `Polis Mahathir' yang membelasah Anwar, `sistem kehakiman Mahathir' yang membicarakan Anwar dan `pentadbiran Mahathir' yang mendakwa Anwar.

Dr Mahathir memecat Anwar atas alasan timbalannya itu tidak layak menjadi penggantinya kerana Malaysia menjunjung Islam sebagai agama rasmi dan homoseksualiti dilarang dalam Islam.

Ketika Malaysia bergelumang dengan kegawatan ekonomi di tengah-tengah krisis mata wang pada 1998, Dr Mahathir dilihat sebagai pemimpin yang berhempas-pulas mempertahankan kedudukannya. Sesetengah pihak menganggap pemecatan Anwar adalah usaha menyingkirkan pesaing utamanya bagi membolehkan Dr Mahathir terus berkuasa.

Anwar adalah ahli politik yang handal. Rakyat Malaysia mengetahui hakikat itu sebelum beliau dipecat dan ditangkap lagi. Dan Anwar meneruskan perjuangannya di pentas politik, walaupun ketika di mahkamah.

Beliau menjadikan ketidakadilan yang dilaluinya sebagai modal - detik dipukul, pelanggaran proses perundangan dalam penyebaran afidavit, gangguan ke atas sahabatnya dan penghinaan secara terbuka di hadapan isteri serta enam anaknya yang tidak bersalah.

Memang mudah untuk bersimpati dengan Anwar. Beliau muda, pandai berhujah, kacak, kelakar, tahu apa yang patut diperkatakan depan khalayak berbeza dan paling utama, Anwar adalah simbol kejayaan. Beliau sentiasa memaparkan kelainan dan asalnya pemimpin pelajar yang meniti anak tangga untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Namun demikian, ramai juga yang tidak gemar dengan cara Anwar berpolitik. Ketika penyokong Anwar cuba memalukan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno 1998 menerusi ucapan mengenai `kronisme, rasuah dan pakatan' dalam pemberian projek kerajaan, Dr Mahathir selaku ahli politik berpengalaman bertindak balas apabila mendedahkan senarai kontrak yang diperoleh rakan serta ahli keluarga Anwar.

Satu negara membaca senarai itu dan seluruh Malaysia juga mengetahui mengenai cubaan Anwar menyingkirkan Dr Mahathir - individu yang membawa Anwar menyertai Umno untuk bertanding pada pilihan raya umum 1982.

Gara-gara percubaan Anwar pada 1997, mudah untuk mempercayai bahawa Dr Mahathir membuang' Anwar untuk menyelamatkan kedudukannya.

Tidak sukar juga untuk memandang rendah terhadap Abdul Rahim - individu yang dihormati anak buahnya kerana sentiasa menjaga kebajikan mereka tetapi digeruni pihak lain berikutan sikap pemarahnya - lebih-lebih lagi atas apa yang dilakukannya ke atas Anwar. Abdul Rahim terpaksa menerima padah atas tindakan melampaunya. Beliau kehilangan pekerjaan, dipenjarakan dan kini meneruskan hidup sendirian.

Hanya dengan satu tindakan, Abdul Rahim kehilangan segala-gala yang diusahakannya sepanjang hayat. Mungkin sejarah juga tidak akan melupakan peranan Abdul Rahim sebagai perencana hingga mendorong pemimpin dan Parti Komunis Malaya menyerah diri - parti yang membunuh ribuan rakyat, anggota polis dan tentera tanah air sepanjang 41 tahun pemberontakannya.

Begitupun, tidak ramai mampu menghulurkan simpati kepada Abdul Rahim selepas insiden mata lebam Anwar yang turut mencalar reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa. Benar, Abdul Rahim Noor sudah membayar harganya dan perlu terus berbuat demikian hingga akhir hayatnya.

Dr Mahathir terpaksa mendepani segala permasalahan itu dan melihat Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, memalukan Malaysia apabila mencemuh serta menghina Perdana Menteri, di samping menggalakkan demonstrasi `reformasi' yang pada hakikatnya, membelenggu rakyat Malaysia dengan ketakutan hampir setiap malam.

Selepas berjaya melepasi krisis mata wang, setelah dicerca rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa sepanjang Anwar dipenjarakan, sokongan beransur-ansur memihak semula kepada Dr Mahathir dan Umno apabila pemulihan ekonomi serta keselesaan kembali dikecapi.

Beliau memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalannya menggantikan Anwar. Dan pada ketika popularitinya kembali memuncak, Dr Mahathir mengejutkan seluruh dunia pada Jun 2002 apabila mengumumkan persaraannya daripada politik dan menamakan Abdullah menjadi pengganti.

Buat seketika, mereka yang masih mempercayai pemecatan Anwar bertujuan membolehkan Dr Mahathir bertahan dengan kuasanya, meramalkan Dr Mahathir akan mengubah fikiran. Seperti mana Anwar dan Tan Sri Musa Hitam sebelum itu, mereka yakin Abdullah tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya tidak begitu. Dr Mahathir bersara pada 31 Oktober tahun lalu dan Abdullah menjadi Perdana Menteri. Adakah Dr Mahathir memilih pengganti yang sesuai?

Masa yang menentukan. Namun jika tanda-tanda awal boleh dijadikan panduan, kita harus ingat bahawa enam bulan selepas menjadi Perdana Menteri, Abdullah berkempen ke seluruh negara bagi meminta sokongan rakyat, terhadap dirinya dan agenda yang dibawanya.

Rakyat Malaysia memberi kemenangan terbaik kepada BN pimpinan Abdullah pada pilihan raya umum Mac lalu - pencapaian paling cemerlang sejak merdeka - menerusi perolehan lebih daripada 90 peratus kerusi Parlimen, merampas kembali Terengganu dan hampir mengetepikan Pas di Kelantan. Keadilan cuma mendapat satu kerusi Parlimen, iaitu yang disandang Dr Wan Azizah di Permatang Pauh.

Selepas Anwar dibebaskan, pemimpin parti pembangkang termasuk Anwar dan badan bukan kerajaan (NGO) memuji Abdullah dengan mengatakan beliau benar- benar ikhlas mahukan perubahan. Mereka menyifatkan Abdullah berjaya mengembalikan kebebasan sistem kehakiman.

Begitupun, mengapa rakyat perlu terkejut? Ketika makan malam bersama hakim tidak lama selepas beliau menjadi Perdana Menteri, Abdullah memberitahu mereka bertanggungjawab mengekalkan kebebasan kehakiman dan bertindak tanpa berasa takut atau menyebelahi mana-mana pihak.

Anwar, Lim Kit Siang, Karpal Singh, NGO dan pengkritik yang menentang Dr Mahathir, ternyata gembira dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan sabitan kes liwat serta hukuman penjara sembilan tahun Anwar kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah kes mereka.

Melihat kepada komen mereka, kita tidak dapat lari daripada memikirkan mungkinkah wujud campur tangan dalam sistem kehakiman di bawah pentadbiran Dr Mahathir. Benarkah begitu?

Hakim yang membebaskan Anwar - Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud - masing-masing dilantik menyandang jawatan mereka ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Ketika membaca penghakiman, Abdul Hamid menyentuh mengenai pelbagai perkara luar biasa yang berlaku - Anwar dipukul, tempoh adik angkat Anwar, Sukma Darmawan, disoal siasat sebelum membuat pengakuan yang membawa kepada keraguan sama ada pengakuan itu adalah sukarela atau sebaliknya, kegagalan saksi utama, Azizan Abu Bakar mengingati tarikh dan waktu sebenar kejadian dan mendapati pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah kes mereka.

Apa yang diperkatakan Abdul Hamid adalah sesuatu yang dapat turut disedari oleh mereka yang mengikuti perbicaraan itu. Bagaimanapun, Abdul Hamid dan Tengku Baharuddin turut berkata, mereka menemui bukti yang mengesahkan Anwar dan Sukma terbabit dalam kegiatan homoseksual.

Penghakiman itu berbunyi: "... kami mendapati bukti untuk mengesahkan bahawa perayu terbabit dalam kegiatan homoseksual dan kami lebih terdorong untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Tivoli Villa, benar terjadi."

Bagaimanapun, hakim mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan insiden yang didakwa dilakukan Anwar itu berlaku di waktu dan tempat seperti dinyatakan dalam pertuduhan, sekali gus menimbulkan keraguan. Justeru, kedua-dua perayu perlu dibebaskan.

Apa yang diperkatakan oleh hakim terbabit ialah selepas meneliti bukti, mereka - seperti juga Dr Mahathir yang berkata beliau sendiri menemubual pihak yang menuduh Anwar - yakin Anwar dan Sukma "terbabit dalam kegiatan homoseksual."

Abdul Rahim sudah menerima pembalasannya; sistem kehakiman mendapat kredibilitinya kembali; alasan Dr Mahathir memecat Anwar disokong oleh hakim; dan secara amnya, rakyat Malaysia mahu meletak noktah terhadap isu yang memecah-belahkan mereka.

Anwar kini bebas. Selepas sekian lama, isteri dan anaknya kembali mempunyai suami dan ayah.

Isu ini membuatkan banyak pihak terluka sejak enam tahun lalu. Rakan menjadi lawan, abang dan adik saling bertelagah, negara dipalit lumpur menjijikkan.

Masanya sudah tiba untuk hidup ini diteruskan. Episod buruk sejarah ini perlu ditutup tidak kiralah bagaimana masa depan menterjemahkannya, dengan harapan kita mendapat pengajarannya. Jika tidak, ia akan menjadi satu lagi tragedi buat kita dan negara.

2 comments:

Anonymous said...

saya bersetuju bahwa isu ini harus dttup.. ttpi hakikat nya, x kira bgaimana kita mncuba.. akn ader pihak2 yg akn mmbuka semula kisah ini.. seterusnya, isu hitama ini akn terus dibuka helaian demi helaian.. bg mngingatkan kpd mereka yg tlah melupakan.. negara kita suda smkin teruk kn?? fitnah berleluasa.. hukum2 diketepikan.. xtau apa yang akn terjadi di msa hdapan nnt.. mgkin merempat di tmpat sndr..

KJambu said...

bro. aku dah menyampah dah dgn KJ ni. support page ni. sebarkan.
http://www.facebook.com/pages/Sokong-Khairy-Jamaluddin-Letak-Jawatan-Sekarang/156165081069137