Walaupun UMNO telah menafikan pembabitan dengan PERKASA berikutan kenyataan daripada Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Teuku Adnan Mansor dan Nazri Aziz, namun masih ada pihak dalam media arus perdana begitu tegar dan terus mengaitkan kedua-dua badan tersebut.
Dengan menyamakan pertubuhan Tea Party di Amerika Syarikat, akhbar Sin Chew Daily memperlekehkan pemimpin UMNO kononnya tidak kesampaian menggunakan sepenuhnya keupayaan otak masing-masing.
Apa yang ditulis oleh Sin Chew itu mencerminkan ketakutan dan kebimbangan sekiranya PERKASA diterima secara rasmi. Rasa takut timbul berdasarkan hipotesis kononnya jika pihak sayap kanan dalam UMNO berganding dengan PERKASA di bawah sepanduk BN pada pilihanraya umum akan datang, imej PERKASA akan melonjak dan kononnya Ibrahim Ali akan mendapat apa jua kuasa di tangannya.
Perspektif apa ini? Jika disorot secara mendalam, apa yang dinyatakan oleh Sin Chew Daily itu sebenarnya bertujuan untuk menakutkan bukan Melayu, walhal PERKASA tidak lain daripada sebuah badan kepentingan orang Melayu seperti badan-badan yang berkepentingan bukan Melayu juga.
Keghairahan parti-parti pembangkang menghentam PERKASA dan mengaitkan UMNO dengannya ialah strategi licik untuk meruntuhkan kredibiliti kedua-duanya dan menghapuskan persada perpaduan Melayu. Apabila PERKASA runtuh dan menarik bersamanya UMNO, apa lagi yang tinggal pada orang Melayu? Hanya gigi dan gusi.
Tohmahan, perlekehan, pembohongan dan pelbagai hasutan negatif terhadap PERKASA, UMNO dan badan-badan yang mempunyai aliran sama dengan mereka akan terus menjadi mangsa. Justeru itu, pucuk pimpinan pun akan terasa lemah dan tersungkur tidak mampu melawan kuasa logik songsang pembangkang ini, dan dengan itu akan terkuburlah segala bentuk pemangkin ke arah penyatuan orang Melayu.
Tidak salah untuk orang Melayu bersatu, seperti mana tidak salah bagi bukan Melayu berpersatuan dalam badan-badan berkepentingan kaum yang wujud sekarang ini. Bagaimanapun, yang menghairankan mengapa harus PERKASA dan UMNO disasarkan sebagai matlamat untuk dibinasakan?
Apakah segelintir pemimpin kanan dalam UMNO tidak menyedari hakikat ini dan memberi ruang kepada mereka?
Lenggong Valley
No comments:
Post a Comment