Desakan demi desakan agar Kalimullah disiasat semakin memuncak dan kelewatan kerajaan mengambil tindakan atas perkara ini mula menimbulkan keresahan.
Perlantikan Kalimullah sebagai peneraju Kumpulan NSTP ketika pemerintahan Abdullah Badawi telah dikritik hebat oleh rakyat Malaysia.
Perlantikan tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat yang mana menjadi salah satu kepada pemangkin kejatuhan Abdullah sendiri, sekali gus kejatuhan syarikat-syarikat milik kerajaan serta juga hampir menggadaikan kedaulatan negara.
Rakyat tidak dapat menerima bagaimana seorang yang disahkan sebagai agen kepada musuh negara diberi kuasa serta kontrak yang melibatkan rahsia pemimpin dan negara. Lebih memburukkan keadaan ialah dia juga diberi pingat kebesaran.
Sehingga hari ini, Abdullah gagal menjelaskan kepada kita kenapa Kalimullah tetap dilantik walaupun Bukit Aman dikatakan tidak gembira. Tetapi, apa yang jelas di mata rakyat ialah segala tindakan Abdullah di era pemerintahannya adalah seratus peratus berdasarkan nasihat atau mungkin juga arahan Khairy Jamaluddin, menantu kesayangannya.
Maka, perlantikan Kalimullah juga, sudah pastinya atas dasar nasihat menantunya yang kurang cerdik itu yang begitu gah bercakap mengenai cita-citanya ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam usia 40 tahun.
Khairy Jamaluddin juga diragui latarbelakangnya. Tanpa didikan sebagai ‘rakyat Malaysia’ kerana telah bersekolah di luar negara sejak dari kecil, penglibatan Khairy di dalam politik dan keluarga Abdullah kelihatan penuh dengan ‘kebetulan’.
Kerakusan dan keangkuhan Khairy menambahkan lagi kemarahan dan keraguan rakyat tentang matlamat sebenar anak muda ini.
Setiap tindakannya hanya mengakibatkan sama ada kerugian kepada negara ataupun tergadainya maruah dan kedaulatan negara. Tidak ada satu pun perkara yang dipegangnya ‘menjadi’. Malah, kelihatannya seolah-olah dia sengaja ingin menghuru-harakan UMNO, Barisan Nasional dan Malaysia.
Kaitan Khairy dan Kalimullah bukan rahsia. Kalimullah sanggup meminjamkan wang berjuta-juta ringgit untuk Khairy membeli saham yang begitu menguntungkan Khairy tetapi merugikan negara. Kalimullah amat rapat dengan Khairy dan keluarga Abdullah dan sering berkunjung ke Seri Perdana untuk bermesyuarat sulit mahupun bersosial.
Kaitan Khairy dan Anwar bukan rahsia juga. Khairy begitu teruja apabila Anwar dibebaskan sehingga membelakangkan undang-undang apabila sanggup menjadi budak penghantar passport sebagai simbol penghormatannya kepada Anwar.
Memandangkan kedudukan Anwar sebagai alat CIA semakin jelas, kedudukan Khairy juga mula diragui. Apatah lagi mengetahui bahawa agen-agen CIA di merata dunia sering dipilih dari universiti terkemuka termasuk Oxford, Cambridge dan Harvard. Agensi perisikan asing amat berminat untuk mengambil rakyat Malaysia yang belajar di universiti-universiti berkenaan sebagai alat kepada mereka dengan bayaran yang lumayan.
Sekali lagi diulang bahawa semua ini bukan rahsia. Orang-orang kampung juga sudah lama tahu atau sekurang-kurangnya meragui Khairy dan Kalimullah.
Jika UMNO masih bertanya kenapa rakyat merajuk dengan UMNO, sebabnya ialah rakyat tidak melihat kesungguhan dalam mengambil tindakan terhadap pengkhianat dan perasuah besar yang masih berada di dalam UMNO ini.
Rakyat bagai trauma dengan apa yang berlaku pada zaman Abdullah Badawi dan amat bimbang andainya anasir-anasir ini masih lagi dibiarkan menjalankan agenda mereka di era Najib.
Ketika Abdullah Badawi dikritik teruk, satu-satu pengganti yang boleh diterima rakyat ialah Najib.
Lebih membimbangkan Abdullah, ialah apabila Najib juga seolah-olah mendapat restu Tun Dr. Mahathir Mohamed. Satu-satunya cara untuk memanjangkan hayat Abdullah sebagai Perdana Menteri dan memberi masa untuk Khairy ‘berkembang’ ialah dengan membayangkan ketiadaan pengganti yang layak.
Memandangkan Najib adalah satu-satunya pengganti yang pasti, maka nama Najib haruslah diburukkan dengan teruk sekali agar rakyat tiada pilihan selain menerima Abdullah sehingga Khairy ‘cukup haul’ atau sehingga UMNO dihancurkan serta Anwar dinobatkan. Ini kerana Khairy dan Anwar adalah sebenarnya di dalam kem yang sama.
Semua ini memerlukan wang dan wang yang banyak tidak susah didapati jika bersahabat dengan agen seperti Kalimullah.
Kalimullah juga dibuktikan sebagai salah seorang penjana bagi laman web Malaysiakini yang begitu konsisten menghentam kerajaan.
Blogger yang laparkan wang dan tiada pendapatan tetap seperti Raja Petra Kamaruddin adalah orang yang paling pantas melihat peluang dari semua kerakusan ini. Laman web miliknya yang sedia diikuti oleh pemerhati Malaysia dari Singapura, serta Cina rasis dan Melayu liberal dari Malaysia, menjadi platform terbaik untuk menghancurkan nama baik Najib.
Dengan begitu ramai Melayu PAS yang taksub, jumud dan sanggup mempercayai apa sahaja yang buruk mengenai UMNO, bukan sukar bagi RPK untuk menghebahkan kisah dongeng untuk memburukkan Najib.
Kem Kalimullah-Khairy yang ingin memburukkan Najib begitu terdesak untuk mencari bukti sehingga sanggup memperbodohkan diri mereka sendiri dengan menggunakan teknologi ‘super-impose’ ke atas gambar bagi menunjukkan yang Najib berada di sebelah Altantuya dalam sebuah majlis. Tindakan terdesak ini membuktikan lagi bahawa Najib bercakap benar dalam sumpahnya yang dia tidak pernah berjumpa dengan Altantuya.
Tidak cukup dengan itu, RPK juga telah menuduh yang Datin Seri Rosmah Mansur, isteri Perdana Menteri sebagai terlibat secara langsung dalam pembunuhan Altantuya malah hadir ketika pengeboman mayat Altantuya dilakukan.
Sedangkan Rosmah pada ketika itu berada di Majlis Berbuka Puasa serta Solat Terawih di Bangunan Tabung Haji di ibu negara, manakala Najib pula berada di satu lagi Majlis Berbuka Puasa berasingan di negeri Kedah.
Kalimullah, ketika memegang kuasa di NST telah banyak kali melakukan sabotaj langsung terhadap reputasi Najib dan kerajaan, terutamanya melalui PLKN dan ATM.
Insiden-insiden terasing yang berlaku di dalam PLKN di mana pelatih telah mati lemas atau mati kerana sakit lelah, digunakan oleh akhbar di bawah Kalimullah untuk menyalahkan menteri sehingga menuntut perletakan jawatan.
Apabila sebuah helikopter milik ATM terhempas atas kecuaian juruterbang, Najib juga disalahkan sebagai tidak cekap.
Pendek kata, apa sahaja masalah di dalam negara pasti Najib yang disalahkan. Jika Najib tidak boleh disalahkan maka isteri Najib pula yang dijadikan sasaran.
Bagi memberi impak yang maksima, insiden-insiden buruk ini sebolehnya diletakkan di muka hadapan akhbar Berita Harian dan New Straits Times.
Ini termasuklah laporan bahawa blog RPK telah mengaitkan Rosmah, bersama-sama dengan Lt. Kol. Norhayati Hassan dan Lt. Kol. Aziz Buyong telah terlibat dalam pembunuhan Altantuya.
Akhbar-akhbar di bawah Kalimullah ini turut juga mengaitkan bahan letupan C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya dengan ATM sedangkan keterangan mahkamah telah membuktikan bahawa C4 yang digunakan adalah tidak ada kena mengena dengan ATM. Hal ini disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera pada waktu itu, iaitu Jeneral Tan Seri Abdul Aziz Zainal.
Lt. Kol. Norhayati dan Lt. Kol. Aziz kedua-duanya kemudian telah mengemukakan saman malu keatas RPK kerana tulisannya yang memburukkan mereka.
Ini menambahkan lagi syak bahawa ada pihak lain yang membekalkan C4 kepada para pembunuh Altantuya. Bukan sukar bagi seorang agen CIA atau agen negara asing mendapatkan bahan letupan tersebut. Dan bukan sukar seorang agen asing mendapatkan dana untuk memanipulasi syarikat kerajaan melalui jual beli saham jika terdapat ‘orang dalam’ di dalam kerajaan sendiri.
Bukan sukar bagi seorang agen asing untuk melaburkan wang membiayai penulis dan pembohong untuk terus menulis dan berbohong dalam kemewahan di luar negara.
Semua yang berlaku ini menjurus kepada memburukkan dan menjatuhkan Najib semata-mata. Siapa lagi mempunyai motif untuk berbuat demikian melainkan Anwar yang telah lama mengidam menjadi Perdana Menteri, Khairy yang tak kurang rakusnya ingin menjadi Perdana Menteri termuda dan agen asing yang inginkan Najib jatuh segera agar boleh digantikan dengan boneka seperti Anwar ataupun Khairy.
Namun, kem Khairy-Kalimullah adalah lebih ketara memandangkan hubungan mereka dan keluarga mereka juga begitu akrab.
Apapun, kedua-duanya tetap berpaksikan musuh negara, Khairy berkiblatkan Singapura yang bersekongkol dengan Amerika manakala Anwar pula menerima wahyu terus dan secara langsung dengan Amerika.
Tindakan segera dari pihak Najib untuk mengekang kemaraan dan kegilaan mereka ini amatlah dinantikan. Rakyat inginkan ‘penutup’ kepada setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh mereka-mereka ini.
Nama negara dan parti UMNO serta Najib sendiri akan terus terjejas sekiranya pengkhianat-pengkhianat ini dilepas bebas tanpa dikenakan tindakan.
Jika benar ada perjanjian antara Najib dengan Abdullah Badawi, seperti yang disyaki oleh rakyat, ia harus dilupakan kerana berjanji dengan pengkhianat tidak akan langsung membawa berkat. Silap haribulan, diri akan terjerat.
Sumber:
Malaysia Instinct